Followers

Thursday, February 27, 2014

Rukun Negara Jangan di Pandang Enteng




RUKUN NEGARA JANGAN DI PANDANG ENTENG
Oleh: Zuraini Binti Othman
28 Februari 2014

Kepesatan dalam era globalisasi yang menyaksikan perhambaan manusia terhadap teknologi dan kemajuan yang semakin terjoblos dalam lubuk hati memungkinkan setiap manusia di muka bumi ini alpa dan semakin mementingkan diri sendiri.  Kemajuan negara yang semakin pesat ini menjadi punca manusia sesama sendiri bersaing untuk mendapat kehidupan yang lebih baik.  Dalam kita memperjudikan diri untuk mencapai segala kemewahan duniawi, pelbagai masalah lain wujud yang mana kita sendiri tidak menyedarinya.    Kebiadaban manusia kini yang sudah tidak segan-silu merperlihatkan kebodohannya dalam pelbagai saluran media massa dan sosial yang menjadi ketagihan manusia dan rutin hariannya itu telah membawa kepincangan dalam hidup mereka.  Pelbagai isu yang melibatkan masalah sosial, kes buli siber , pergaduhan, pemberontakan, rompakan, pembunuhan, kes rogol, ajaran sesat dan bermacam lagi masalah kebiadaban manusia ini semakin berleluasa dan menjadi mainan  rutin harian mereka.  Di manakah salahnya?  Jangan hanya pandai menuding jari menyalahkan sana dan sini walhal dari akar umbinya adalah dari susuk tubuh diri itu sendiri yang menjadi punca.  Malah negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya, memelihara satu cara hidup demokratik, mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama, menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak, dan membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden. Tetapi persoalannya, mampukah Malaysia mencapai cita-cita itu tetapi segala kebiadapan manusia ini semakin menjadi-jadi.  Akar umbinya adalah dari dalam diri yang tidak memahami entiti Rukun Negara itu sendiri.  Kita harus berbangga kerana negara kita dulu membangun selari dengan kemahuan Rukun Negara tetapi mengapa Rukun Negara tersebut di pandang enteng dan sekadar menjadi tatapan usang dalam buku sekolah lama?  Bagi setiap rakyat Malaysia, pastinya pernah melafazkan Rukun Negara sewaktu berada di sekolah satu ketika dahulu dan bagi mereka yang masih bersekolah, pastinya rutin itu masih diteruskan sehingga sekarang. Doktrin itu telah pun disemai sejak alam persekolahan lagi, namun sejauh mana doktrin itu telah meresap dalam tubuh kita dan mengalir bersama darah dalam tubuh kita ?  Benar, kita selalu melafazkannya sejak di bangku sekolah lagi, tetapi adakah kita memahami isinya dan kehendak Rukun Negara itu?  Adakah kita mengetahui akan sejarah mengapa Rukun Negara diwujudkan ? Adakah kita sekadar melafazkannya kerana patuh arahan guru sewaktu perhimpunan, ataupun sekadar berdiri kaku mengangkat tangan dalam keadaan letih dan penat sepanjang masa berdiri, berhimpun tetapi kosong dalam diri!  Bagaimana pula semasa alam pekerjaan? Adakah masih kita mempraktikkan doktrin tersebut.  Percatuan corak kehidupan bergantung kepada manusia yang menciptanya bukan robot yang tidak tahu apa dan sekadar membabi buta melakukan amalan harian yang tiada makna.  Persoalannya, adakah kita mahu belajar dari sejarah untuk melangkah ke hadapan ?  Prinsip Rukun Negara dihasilkan setelah melihat pepecahan yang berlaku angkara tragedi 13 Mei 1969. Tragedi hitam itu turut melanda beberapa lokasi di Kuala Lumpur. Kita harus melihat sejarah walau sepahit mana pun sejarah itu sebagai penawar untuk langkah-langkah kita yang akan datang.  jika kita tidak memahaminya Rukun Negara tersebut, kesannnya kita sudah nampak bukan? Tepuk dada tanya iman, renung-renungkanlah dan selamat beramal.



No comments:

Post a Comment